Assalamualakum Ayahanda tercinta,
Sihatkah ayahanda disana? Soalan yang anakanda tidak akan tahu jawapan yang pasti. Terkadang anakanda alpa dengan urusan dunia sehingga terleka untuk bertanyakan khabar dan bercerita barang seminit dua. Sihatkah ayahanda disana? Soalan yang hanya akan menyusul diminda tanpa keluar butir bicara jika anakanda terkenangkan ayahanda.
Ayahanda,
Ayahanda, ujian apakah yang Allah berikan ini? Anakanda tidak berniat mahu mempersoalkan takdir, namun anakanda seperti belum bersedia untuk menghadapi ujian hidup yang maha berat. Anakanda teringat pesan ayahanda, Allah memberikan ujian kepada hamba-hambaNya untuk menguji tahap keimanan, Allah memberikan ujian kerana mahu memberikan peringatan kepada manusia, Allah berikan ujian untuk manusia menikmati dan mensyukuri serta merasai kemanisan hidup setelah ujian dilalui. Ujian itu komunikasi dari Tuhan yang Esa untuk manusia yang seringkali terleka dengan indah fatamorgana kerana fitrah manusia yang mencari Tuhan pada masa susahnya.
Ayahanda,
Anakanda dedikasikan usaha 9 bulan ini untuk ayahanda kerananya. Jika diberi peluang, anakanda mahu ayahanda hadir disisi dan menyokong anakanda seperti dahulu. Anakanda seringkali tewas dengan ujian kecil, acapkali lemah dengan ujian yang tidak seberapa parah. Namun, segala kata nasihat ayahanda akan anakanda jadikan pedoman hidup, akan anakanda pegang selagi hayat dikandung badan. Ayahanda, anakanda percaya ayahanda tetap hidup dan bersemi dalam jiwa anakanda.
Ayahanda,
Tenanglah ayahanda disana. Anakanda janji anakanda akan terus betabah hati, Allah sentiasa ada untuk anakanda panjatkan doa, untuk anakanda mengadu segala kepayahan yang anakanda tempuhi, itu nasihat ayahanda.
Ayahanda,
Anakanda tidak mampu memberikan apa-apa lagi. Anakanda akan titipkan sedekah al-fatihah untuk ayahanda setiap masa anakanda rindukan ayahanda.
Salam rindu dan sayang dari anakanda,
Along.
3 comments:
big hug sis. *big hug*
Innalillah anis.. tabah hati ye dik.. sabar ek.. Allah tak uji kita sesuatu yg kita tak tak boleh tahan kan..?
Al-Fatihah buat yg pergi. sayu hati dan sebak dada bila saya baca warkah ini hingga ayat yg terakhir.
Post a Comment